Lagi cubaan cemar sungai digagalkan di Selangor

0
2
Exco Selangor, Hee Loy Sian ketika sidang media berkenaan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor menyebabkan loji pembersihan air (LPA) Rantau Panjang, SSP1, SSP2 dan SSP3 terpaksa dihenti tugas di Kolam Tebatan Banjir, Sungai Gong.

PIHAK berkuasa berjaya menghalang satu insiden pencemaran sisa kimia berhampiran Bandar Bukit Mahkota, Cheras semalam yang berpotensi menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, sisa dipercayai pelarut berbau busuk berwarna putih itu dikesan orang awam di salah satu lurang Indah Water Konsortium (IWK) di kawasan berkenaan.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menerima laporan sekitar jam 10 malam seterusnya menghubungi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) untuk tindakan segera.

“Sisa berkenaan didapati melimpah dari lurang itu seterusnya mengalir ke tasik yang terletak di sebuah rumah kelab berdekatan kawasan itu.

“Tindakan segera dengan meletakkan 20 beg karbon aktif di tasik berkenaan untuk menyekat dan meneutralkan sisa kimia itu daripada terus mengalir ke Sungai Beranang,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Sisa kimia berbau seakan pewarna rambut itu kemudian disedut menggunakan dua lori IWK dan kerja pembersihan selesai pada jam 2 pagi.

Loy Sian berkata, loji IWK di kawasan itu terpaksa ditutup semalam bagi membolehkan kerja pembersihan dilaksanakan.

Beliau berkata, jarak lokasi loji IWK ke tasik berhampiran berkenaan kira-kira satu kilometer.

“Kita mengesyaki dalang kegiatan itu melakukan pembuangan bahan terlarang dengan menggunakan lori bagi mengelak dikesan.

“Sekiranya tiada tindakan pantas semalam, penutupan loji mungkin berlaku berikutan air tercemar dijangka akan dibawa ke LRA Semenyih dalam tempoh 10 jam,” katanya.

Kejadian itu adalah insiden pencemaran kali ketiga di lokasi berkenaan sejak 2018. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here