Pemberian ‘one off’ RM300 naikkan moral kerja frontliners – Cuepacs

0
1

Nurul Huda Abhar

KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menzahirkan terima kasih kepada kerajaan kerana mempertimbangkan cadangan bantuan khas kepada lebih ramai petugas barisan hadapan.

Presidennya, Adnan Mat berkata, sebelum ini kerajaan mengumumkan hanya memberi bantuan one-off RM500 kepada kira-kira 100,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja.

“Alhamdulillah kerajaan telah bersetuju untuk memanjangkan pemberian bantuan one-off kepada semua petugas barisan hadapan lain sebanyak RM300.

“Pengumuman ini tentu menaikkan lagi moral petugas barisan hadapan kita yang bertungkus-lumus memerangi penularan Covid-19 demi keselamatan rakyat.

“Bantuan one-off ini bukanlah keutamaan tetapi penghargaan oleh kerajaan dan rakyat yang pasti menaikkan semangat frontliner kita yang siang malam memerah keringat untuk kesejahteraan rakyat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Adnan, keputusan kerajaan untuk mengkaji dan menyelaras semula kadar elaun perumahan penjawat awam membuktikan kerajaan peka dengan kebajikan penjawat awam.

Tambah beliau, ia sebahagian langkah kerajaan untuk memperkasakan lagi sistem perkhidmatan awam terutama dalam soal kebajikan warganya.

“Kadar elaun perumahan bagi Sabah adalah yang tertinggi dan penjawat awam yang berkhidmat di Sabah mendapat elaun lebih tinggi daripada penjawat awam di Sarawak atau Semenanjung.

“Ia wajar disemak semula kerana kali terakhir ia disemak pada 30 April 2002,” ujarnya.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hari ini mengumumkan kerajaan bersetuju memperluaskan pemberian bantuan secara sekali bayaran berjumlah RM300 kepada semua petugas barisan hadapan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here