Belanjawan 2021: Agong zahir penghargaan kepada semua Ahli Parlimen

0
2
YDPA Foto Krdit: Istana Negara

YANG di-Pertuan Agong menzahirkan penghargaan kepada semua Ahli Dewan Rakyat yang memberi sokongan bagi meluluskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengalu-alukan sokongan bagi kelulusan Belanjawan 2021 untuk menjamin kesejahteraan dan kelangsungan hidup rakyat serta pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat penularan wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menerusi kenyataan berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat yang mendokong titah nasihat Baginda pada 28 Oktober 2020 lalu.

Ia untuk memberi sokongan demi kesejahteraan dan keselamatan rakyat serta
kemaslahatan negara.

“Sesungguhnya, selain pemulihan ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat, Belanjawan 2021 amat penting kepada kerajaan dan pihak berkuasa, khususnya petugas barisan hadapan, untuk menerus dan melancarkan dasar serta usaha membendung dan menangani ancaman wabak Covid-19.

“Selaku Ketua Negara, Al-Sultan Abdullah amat menghormati setiap parti politik yang berdaftar di negara ini. Seri Paduka Baginda juga menghargai peranan dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Ahli-ahli Dewan Rakyat dalam membela kebajikan rakyat.

“Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda amat menghargai komitmen dan semangat muafakat serta gandingan bahu setiap pihak kerana ia amatlah penting bagi mengekalkan momentum pemulihan ekonomi demi kesejahteraan bersama,” katanya.

Al-Sultan Abdullah juga mengajak untuk bersama-sama merenung firman Allah SWT dalam Sural An-Nisa, ayat 85 yang bermaksud: “Sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang baik nescaya ia akan memperoleh bahagian (pahala) daripadanya.

Dan sesiapa yang memberi syafaat (bantuan dan pertolongan) yang buruk nescaya ia akan mendapat bahagian (dosa) daripadanya. Dan
ingatlah Allah amat berkuasa atas tiap-tiap sesuatu”.

Baginda turut menzahirkan keyakinan penuh kemampuan kerajaan untuk menerajui pentadbiran negara pada saat negara sedang diuji dengan pelbagai krisis ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here