[PARLIMEN] KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti dan mengkaji secara menyeluruh untuk memperkenalkan model “gelembung sukan” sebagai usaha merancakkan kembali industri sukan tanah air yang terkesan akibat Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata beliau berpendapat bahawa menekan butang “pause” untuk industri sukan adalah satu isyarat tidak tepat.
“Secara peribadi, saya harap aktiviti sukan masih perlu diteruskan.
“Sebab itu, semua pemegang taruh dalam industri sukan sedang mengusahakan model ‘gelembung sukan’ yang akan dikemukakan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak lama lagi,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar) yang membangkitkan isu tajaan industri bola sepak yang boleh mengakibatkan sukan itu terkubur akibat penangguhan Liga Malaysia.
Justeru, Reezal Marican berkata, beliau akan memperjuangkan supaya industri sukan diteruskan semula dengan meyakinkan MKN berkaitan model baharu itu nanti.
“Kita akui perkara itu, sebab itu saya sebagai menteri akan perjuangkan, pada 2021 nanti semua aktiviti sukan tetap dapat diteruskan dan saya akan yakinkan MKN dengan model yang akan diperkenalkan ini,” katanya.
Beliau juga melahirkan kebimbangan terhadap masa depan industri bola sepak sekiranya Liga Malaysia ditangguhkan dalam tempoh lama.
“Syarikat penyiaran juga akan tertekan kerana hilang kandungan untuk disiarkan,” katanya.
Beliau berkata, kementerian juga akan mempertimbangkan mekanisme digunakan negara luar dalam kejohanan besar antaranya menggunakan kaedah “RTK Antigen” yang mana keputusan ujian Covid-19 diperoleh dalam tempoh seminit menerusi semburan nafas.
“Konsep yang ditekankan dalam ujian ini adalah anda jalani ujian anda boleh lihat, anda jalani ujian anda boleh terbang,” katanya. – Malaysiapost

