Kes kematian Beng Hock, 13 saksi dirakam percakapan

0
1

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) talah merakam percakapan 13 saksi dan meneruskan siasatan berkaitan kes kematian Teoh Beng Hock, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ia selepas polis membuka semula kertas siasatan berhubung kematian Beng Hock pada 16 Julai 2009, seperti diarah Pejabat Peguam Negara.

Kes itu dibuka mengikut peruntukan Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah).
KDN dalam jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen (parlimen.gov.my), memaklumkan kertas siasatan sebelum ini dirujuk ke Pejabat Peguam Negara pada 24 Februari lalu.

“PDRM diminta untuk meneruskan siasatan dan mengemukakan kembali kertas siasatan kepada Pejabat Peguam negara selepas siasatan lengkap dijalankan.

“Polis sudah merakam percakapan 13 orang saksi dan siasatan masih berjalan,” kata KDN dalam jawapan kepada soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang meminta kementerian itu menyatakan jumlah saksi yang diambil keterangan dan status terkini kes berkenaan.

Beng Hock ditemui mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan terbabit.

Ketika itu, mendiang adalah setiausaha politik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor pada waktu itu.

Pada 18 November tahun lalu, PDRM menubuhkan pasukan siasatan khas membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bukit Aman bagi menyiasat kes kematian Beng Hock.

Ia susulan arahan Peguam Negara pada 16 Julai 2019 supaya kes yang sebelumnya diklasifikasi sebagai mati mengejut, disiasat semula mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan (Kurungan Salah). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here