Anwar bidas Azhar isu kelonggaran masa

0
3

Fitri Nizam

[PARLIMEN] KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kerana terlalu keras tanpa memberi kelonggaran untuk kem pembangkang mendapatkan penjelasan menteri.

Beliau berkata, Dewan Rakyat bukan saja tempat untuk mendengar penjelasan daripada menteri sebaliknya ia juga tempat untuk berbahas.

“Tapi Yang Dipertua sampai keras begini tak ada kelonggaran lima minit pun. Berapa orang (Ahli Parlimen pembangkang) bangun nak cakap pun tak boleh,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Azhar kemudian bingkas menjawab beliau faham apa yang ingin disampaikan Anwar, namun Ahli Parlimen Port Dickson itu menegaskan Yang Dipertua sebenatnya tidak faham dengan fungsi Dewan Rakyat.

“Yang Dipertua, maaf, selalu cakap faham tapi sebenarnya tak faham. Kalau faham beri sikit kelonggaran lima minit, tujuh minit tak boleh?,” soalnya.

Anwar juga tidak bersetuju mengambil sikap terlalu keras menghalang Ahli Parlimen membangkitkan isu penting.

Azhar kemudiannya menjelaskan sesi perbahasan sudah tamat dan ia adalah sesi penggulungan daripada pihak kerajaan.

“Mengikut peraturan mesyuarat, pencelahan cuma untuk penjelasan dan bukan untuk perbahasan lagi. Perbahasan dah berlalu, sekarang masa menjawab.

“Kalau ada Yang Berhormat ingin mencelah untuk penjelasan dan sekiranya dibenarkan oleh Yang Berhormat menteri maka itu boleh dibuat, kalau tidak dibenarkan maka tidak boleh dibuat,” katanya.

Pertikaian itu timbul ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamarudin menggulungkan perbahasan berhubung Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here