2 anggota tak pakai jaket kalis peluru kerana ‘undercover’

0
3

DUA anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang diserang penyeludup di pos sempadan Malaysia-Thailand di Perlis semalam, tidak memakai jaket kalis peluru kerana dalam tugasan risikan dan penyamaran.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata mengikut prosedur operasi standard (SOP) anggota keselamatan yang bertugas ketika rondaan dikehendaki memakai jaket kalis peluru.

“Cuma pada ketika itu mereka berdua adalah anggota risikan dan dalam tugas membuat risikan ‘undercover’.

“Disebabkan itu mereka tidak memakai jaket kalis peluru,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Acryl Sani berkata, ketika ini polis masih menjalankan siasatan terperinci dan menyeluruh mengenai insiden itu.

“Kita masih lagi menyiasat apakah latar belakang kes ini sama ada mereka ini diserang hendap atau seumpamanya,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua anggota hanya dibekalkan pistol Walter P99 ketika kejadian kerana dalam tugas risikan.

Dalam pada itu, Acryl Sani berkata, selepas insiden tembakan pertama pada April lalu, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman telah melakukan kajian bagi meneliti semula SOP yang berkuat kuasa ketika ini.

“Kita sedang melihat adakah perlu SOP ditambah baik atau diperketatkan bagi memastikan SOP dalam tugas rondaan, risikan, pencegahan dan seumpamanya dapat diperkemaskan bagi keselamatan pegawai dan anggota bertugas, orang awam dan perkara berkaitan dengannya,” katanya.

Dalam kejadian 3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut akibat ditembak manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, cedera parah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here