Belanjawan 2021: Memang kita sokong, dah tak sabar nak mengundi – MP BN

0
3

Nilam Oshman

AHLI-Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) akan menyokong sepenuhnya Belanjawan 2021 yang akan melalui proses pengundian esok, bagi menentukan sama ada mendapat sokongan majoriti atau tidak.

Demikian jaminan diberi Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim yang menegaskan sokongan penuh terhadap Belanjawan sudah dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pengerusi (BN) dan parti kata (putuskan) itulah (menyokong Belanjawan) naratif kita, mana ada ubah-ubah.

“Kita tak sabar nak mengundi dan menyokong kerana kami sayang rakyat… kami nak mudahkan rakyat, demi kelangsungan hidup seharian rakyat, kami sayang rakyat.

“Jadi kami sebulat suara menyokong demi rakyat tercinta,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost hari ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias, berkata BN dan Umno telah menetapkan pendirian untuk menyokong Belanjawan 2021.

“Memang kita sokong, BN dah buat keputusan, Ahli Majlis Tertinggi Umno pun dah buat keputusan bahawa semua Ahli Parlimen BN akan memberi sokongan.

“Maknanya sokongan untuk meluluskan bajet esok sebagai salah satu pendirian ahli-ahli Umno dan BN.

“Tiada sebab untuk kita tolak. Kita memang buat keputusan untuk menyokong bajet ini,” katanya.

Semalam, anggota pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) daripada BN meminta Ahli Parlimen BN yang lain turut serta memberi sokongan kepada Belanjawan 2021 yang akan diundi untuk diluluskan di Dewan Rakyat esok.

Kesemua anggota pentadbiran itu, terdiri 20 menteri dan timbalan menteri menzahirkan perkara tersebut menerusi kenyataan hari ini, antara lain bagi memastikan perancangan kerajaan membela rakyat dan memulihkan ekonomi dilaksanakan sebaik mungkin. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here