Tembak anggota PGA: Jenayah keselamatan negara – MB Perlis

0
2
PERLIS 24/11/2020: Inspector General of Police Tan Sri Abdul Hamid Bador meeting few of the PGA personnel as he arrived at Taman Radzi PGA Post in Padang Besar, Perlis on November 24th. PICTURE BY SAYUTI ZAINUDIN

INSIDEN tembakan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang sedang bertugas di pos keselamatan Malaysia – Thailand dekat Padang Besar, Perlis, semalam, dianggap sebagai perbuatan jenayah terhadap keselamatan negara.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata, kerajaan negeri berharap ada tindakan lanjut diambil ke atas penyeludup yang menembak dua anggota PGA menyebabkan salah seorang daripadanya maut, manakala seorang parah.

“Ya, tindakan ini satu perbuatan jenayah (terhadap anggota PGA) yang bertugas menjaga keselamatan.

“Saya dimaklumkan susulan kejadian ini, pihak polis sudah menahan dua suspek, jadi kita nantikan tindakan selanjutnya pihak berkuasa,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Azlan berkata, pihaknya turut memuji tindakan pantas anggota polis hingga berjaya menangkap dua penjenayah terbabit dalam tempoh yang singkat.

Katanya, beliau menantikan perkembangan positif mengenai kejadian terbabit dari semasa ke semasa.

“Saya ucapkan juga terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand yang sama membantu dalam siasatan ini sehingga tertangkapnya sebahagian daripada penjenayah terbabit,” katanya.

Dalam kejadian jam 3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Mayat mendiang Koperal Baharuddin dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar bagi proses bedah siasat dan dibawa pulang bagi dikebumikan di kampung halamannya di Bahau, Negeri Sembilan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here