Annuar akui terhina, namun tak berdendam dengan terjahan rakan dari selatan

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

TAN Sri Annuar Musa mengakui sedikit terhina dengan ‘terjahan’ rakan-rakan dari Umno khususnya dari selatan, namun tidak berdendam.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, beliau diminta mengulas ‘terjahan’ berkenaan tetapi lebih selesa memilih untuk tidak menyerang.

“Ada pihak yg meminta saya ulas terjahan rakan-rakan terhadap saya, khususnya dari Selatan. Saya ramai rakan di sana. Negeri dan individu yang saya pandang tinggi.

“Saya tidak gemar serang menyerang terutama sesama sendiri. Lagi pun saya tiada vandetta atau dendam pada sesiapa. Walaupun rasa sedikit terhina, tidak mengapalah, sudah adat kita berpolitik.

“Lagi pun mereka itu individu yang jauh lebih hebat dari saya, yang dikira sudah ‘mati’. Saya percaya mereka jujur dan akan terus menghidupkan perjuangan parti. Saya kekal dgn cara saya Insyaallah,” katanya menerusi Facebook.

Sebelum ini, Annuar menerima kritikan dari beberapa pemimpin Umno Johor antaranya, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, yang mengatakan Annuar sudah ‘mati’ namun masih enggan melompat ke parti lain.

Malah, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi juga menegur Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu supaya tidak mendahului presiden parti dalam isu dasar taktikal atau bertindak sebagai ketua penerangan parti lain.

Sementara itu, Annuar berkata beliau ‘seronok’ melihat poster palsu mengenai dirinya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) cawangan Ketereh.

“Mereka itu golongan yang percaya fitnah boleh menjayakan mereka. Saya tidak percaya fitnah boleh membawa kita kepada kejayaan.

“Saya memilih untuk berkata benar dan berterus terang. Mungkin saya mudah di salah mengertikan. Tidak mengapa kebenaran kadang kala memerlukan masa.

“Saya faham semua orang ikhlas nak Umno berjaya, cuma cara mungkin berbeza. Kita raikan perbezaan itu.Saya tidak semestinya betul,” katanya.

Beliau berkata, hatinya kuat mengatakan bahawa Umno mesti perkasakan politik taawun (kerjasama) dan taayush (ujud bersama) kerana Rasulullah mengamalkannya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here