PRN Sabah: Agihan kerusi, calon jadi tumpuan awal

0
3

Thaddius Unnip

[Sudut Pandang] Hari ini genap seminggu Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Belum lagi panas, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pun belum lagi bermesyuarat bagi menentukan tarikh penamaan calon dan mengundi.

Parti politik juga kebanyakannya masih dalam proses menyelaras jentera masing-masing kerana tidak menyangka DUN dibubarkan.

Dalam fikiran kebanyakan orang sebelum ini, kemelut politik Sabah mungkin hanya berkesudahan dengan insiden bertukar ketua menteri dan kerajaan, sama seperti di Johor, Melaka, Perak dan Kedah.

Proses yang dilihat pertukaran daripada Warisan – Pakatan Harapan (PH) diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kepada pakatan baharu pro Perikatan Nasional (PN) yang diketuai bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman.

Itulah jangkaan awal apabila berita mengenai sebahagian wakil rakyat yang menyokong kerajaan pimpinan Warisan beralih arah tersebar minggu lalu.

Sebahagian besarnya adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Upko yang sebelum ini melompat parti menyertai Warisan, selain ada juga dari PKR dan DAP.

Sekarang mereka tidak lagi berparti kerana sudah dipecat atau hilang keahlian secara automatik dalam parti disertai mereka sebelum ini.

Tumpuan sekarang pastinya terarah kepada isu siapa calon, di mana bertanding dan berapa agihan kerusi terutama bagi gabungan parti yang bekerjasama.

Di pihak kerajaan pimpinan Warisan, umpamanya, difahamkan agihan kerusi di antara Warisan, Upko, PKR, DAP dan Amanah sedang dibincangkan.

Sebagai parti tunjang, Warisan pastinya bertanding lebih banyak kerusi, sekurang-kurangnya lebih separuh daripada 73 kerusi DUN.

Begitu juga di pihak PN, soal agihan kerusi tentunya masih dibincangkan, lebih-lebih lagi antara Bersatu dan Umno.

Bagi Umno, kerusi diwakili Bersatu sekarang adalah milik mereka kerana ditandingi atas tiket Umno pada PRU lalu.

Bersatu pula baru-baru ini mengumumkan mahu bertanding 45 kerusi, menggambarkan hasrat parti itu mahu mendominasi parti lain di bawah PN.

Itu belum lagi agihan kerusi dengan parti lain yang menyokong PN. PBS contohnya mengumumkan mahu bertanding di 30 kerusi.

Bagaimana pula Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS)? Mereka juga tentunya mahu ‘demand’ sebanyak mungkin kerusi.

Malah, Pas juga menyatakan minat untuk bertanding.

Yang pasti, soal agihan kerusi kali ini tidak semudah zaman Barisan Nasional (BN) kerana kerjasama dalam PN bukan sesuatu yang rasmi, malah Umno menyatakan ia tidak menyertai gabungan itu.

Hanya parti ‘lone ranger’ bebas menentukan jumlah kerusi.

Ada kemungkinan Parti Cinta Sabah (PCS) yang kini dipimpin bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, bertanding menentang pakatan Warisan-PH dan PN.

Usno (Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu), sebuah parti lama yang dihidupkan semula dan kini dipimpin bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selaku Ketua Umum, kemungkinan turut bertanding

Bukan itu saja, parti lain seperti Parti Maju Sabah (SAPP) pimpinan bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Putra dan mungkin ada lagi parti lain pasti tidak mahu ketinggalan mencuba nasib pada PRN kali ini.

Maka tidak mustahil kita tidak akan dapat menyaksikan pertandingan satu lawan satu di semua 73 kerusi DUN pada PRN ini

Sabah sebenarnya sudah biasa dengan pertembungan begitu ramai calon di sesuatu kerusi, malah sehingga tujuh penjuru pada PRU yang lalu.