BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan memberi kata dua kepada pengurusan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika menjawat jawatan sebagai Menteri Kewangan.
Najib berkata beliau yakin Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz faham tuntutan rakyat berkenaan pengeluaran Akaun 1 KWSP, namun pengurusan KWSP masih mempertahankan untuk tidak menyokongnya.
“Ini tuntutan rakyat. Kalau saya Menteri Kewangan, saya bagi kata dua. Keluarkan arahan, kalau tak buat dia kena berhenti (letak jawatan),” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Najib menegaskan, KWSP juga tidak wajar melihat tuntutan tersebut sebagai satu beban yang akan menjejaskan pelaburan KWSP kerana ia bukan soal utama.
Menurutnya, soal KWSP tidak ada wang seperti mana yang dipersoalkan rakyat juga tidak sepatutnya wujud.
“Modal aset KWSP mencecah RM940 bilion di mana 50 peratus daripadanya dalam bentuk bon. Apa yang saya andaikan jika laksanakan cadangan ini mungkin hanya libatkan peruntukan sehingga RM40 bilion.
“Ini boleh dilakukan bukan bermaksud KWSP perlu jual saham tetapi bon misalnya, Bank Negara boleh beli bon KWSP. Boleh simpan, boleh jual balik atau boleh jual kepada pihak ketiga dan lain-lain.
“Jadi ada kaedahnya dan ini tidak menjejaskan kepentingan KWSP,” katanya.
Sementara itu, Najib menyifatkan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion dirangka dengan keadaan rumit dan mencabar, antaranya disebabkan kegagalan kerajaan menggunakan rezab Petronas.
“Sepatutnya ada tambahan RM54 bilion lagi duit Petronas boleh digunakan pada waktu seperti sekarang ini, namun telah digunakan lebih awal. Hutang negara meningkat mendadak ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebanyak RM140 bilion dalam masa 22 bulan sahaja.
“Ini memberi kekangan kepada Menteri Kewangan untuk keluarkan bajet dalam keadaan yang cukup mencabar,” katanya.
Sementara itu, Najib berkata peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2021 ketika pandemik Covid-19 yang hanya 2.5 peratus lebih tinggi berbanding 2019, tidak cukup untuk merangsang ekonomi negara.
Justeru katanya, kerajaan masih ada masa untuk menambah baik bajet tersebut sehingga benar-benar memenuhi keperluan rakyat.
“Sebab itu saya cadangkan dua perkara iaitu pengeluaran one-off RM10,000 dari Akaun 1 KWSP dan moratorium dilanjutkan secara pukal kerana bajet ni tidak mencukupi untuk merangsang ekonomi dalam keadaan yang amat luar biasa ini,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan mempunyai dana mencukupi untuk menguruskan peruntukan belanjawan yang diumumkan dengan memperolehnya daripada pinjaman dari pasaran domestik.
“Kerajaan ada duit tapi sebab pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) menyebabkan kelompongan dari segi hasil dan hutang akan terus meningkat.
“Jika kita tak laksanakan semula GST hutang kita akan naik secara lebih mendadak,” katanya. – Malaysiapost

