PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) mengingatkan vaksin Covid-19 masih belum tentu tersedia seperti diharapkan untuk ‘mengalahkan’ pandemik berkenaan.
Memetik laporan AFP, Pengarah Kecemasan WHO, Michael Ryan berkata vaksin Covid-19 tidak boleh dilihat sebagai penyelesaian ajaib, sebaliknya negara yang sedang memerangi kebangkitan wabak itu perlu berdepan dengannya tanpa vaksin.
“Saya rasa sekurang-kurangnya sehingga empat bulan lagi sebelum kita dapat tahap vaksinasi yang signifikan di mana-mana saja.
“Dunia masih belum mempunyai vaksin Covid-19 sebenar walaupun ada pengumuman meyakinkan berdasarkan siri ujian vaksin yang kini berada pada fasa terakhir.
“Banyak negara berdepan gelombang ini dan mereka akan melaluinya serta terus menempuhinya tanpa vaksin. Kita perlu memahami dan menerimanya,” katanya.
Ryan turut memberi amaran kepada seluruh dunia supaya terus berwaspada terhadap virus berkenaan dan jangan terlalu yakin dengan kebergantungan vaksin untuk menyelesaikan masalah pandemik itu.
“Beberapa orang berpendapat vaksin itu sudah siap, maksudnya ia sebagai penyelesaian, tetapi sebenarnya tidak.
“Sekiranya kita ada vaksin dan melupakan perkara lain, Covid-19 tidak akan menjadi sifar,” katanya.
Sebelum itu, syarikat gergasi farmaseutikal, Pfizer mendakwa ujian lengkap vaksin Covid-19 menunjukkan ia berkesan pada tahap 95 peratus, manakala firma Moderna berkata vaksin dihasilkannya berkesan pada tahap 94.5 peratus.
Rusia pula mendakwa vaksinnya berkesan sebanyak tahap 90 peratus terhadap calon ujian. – Malaysiapost

