Keputusan larang kedai runcit jual arak muktamad – Annuar

0
3

KEPUTUSAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan kedai runcit menjual arak mulai Oktober 2021 adalah muktamad.

Perkara itu ditegaskan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerusi ciapan di Twitter, di sebalik bantahan beberapa pihak termasuk DAP berhubung keputusan tersebut.

Bermula Oktober 2021, semua kedai runcit dan serbaneka serta ubat tradisional Cina tidak dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional.

Menurut DBKL dalam Garis Panduan Lesen Minuman Keras, berkuat kuasa tarikh sama, tiada lagi lesen baharu minuman beralkohol yang memabukkan (LMK) dibenarkan diperbaharui untuk semua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat Cina.

Lesen pembaharuan hanya dibenarkan sehingga 30 September 2021 sahaja.

“Jenis LMK dan premis yang dibenarkan adalah secara borong, gudang, stor, rumah kedai dan kompleks perdagangan.

“Selain itu, rumah awam kelas 1, rumah kedai, hotel, kompleks perdagangan. Untuk runcit pula melibatkan pasar raya, hypermarket dan kompleks perdagangan,” menurutnya.

Menurut garis panduan itu lagi, premis perniagaan menjual minuman keras yang memabukkan juga tidak boleh berhadapan dengan balai polis, rumah ibadah, sekolah dan hospital.

Keputusan tersebut dipersoalkan beberapa pihak termasuk Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Kok Wai dilaporkan berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk memohon agar garis panduan baharu itu ditarik balik.

Katanya, peraturan baharu itu melanggar hak orang bukan Islam untuk mengamalkan budaya mereka, yang dijamin Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here