Aiman Hanif
[Parlimen] Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Dr Zulkifli Mohamad menjelaskan kerajaan tidak berhasrat untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi merungkai kemelut yang dihadapi Lembaga Tabung Haji (TH).
Sebaliknya kerajaan hanya akan mempertimbang untuk menubuhkan jawatankuasa petugas khas untuk mengkaji urus niaga TH.
Zulkifli berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (PH-Parit Buntar) di Parlimen, hari ini.
Mujahid bertanya sama ada kerajaan Perikatan Nasional (PN) bercadang menubuhkan RCI bagi menyiasat urus niasa TH.
Jelas Zulkifli, jawatankuasa berkenaan akan dianggotai pakar untuk meneliti urus niaga terbabit agar menepati kepentingan TH.
Pada 15 Julai, Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menyerahkan memorandum kepada Zulkifli menggesa supaya RCI menyiasat dakwaan salah laku
urus niaga TH.
Selain Asyraf, beberapa Ahli Parlimen turut mencadangkan RCI ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan salah laku oleh pengurusan TH yang lalu.
Cadangan itu turit diutarakan Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga bekas pengerusi TH.
Abdul Azeez dilaporkan berkata cadangan penubuhan suruhanjaya ini telah diutarakan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) bagi menyiasat secara telus dan menjawab segala dakwaan berkaitan institusi kewangan umat Islam berkenaan.
Sebelum ini beberapa pemimpin Umno dan PAS mengecam Mujahid dan menuduh naib presiden Amanah itu melakukan penjualan aset Tabung Haji dan mendesak agar sebuah RCI ditubuhkan bagi menyiasat apa yang berlaku.
Sementara itu, zulkifli berkata TH mencatatkan keuntungan selepas zakat sebanyak RM1.6 bilion setakat 31 Dis 2018, manakala bagi tahun berakhir 31 Dis 2019, badan itu memperoleh keuntungan selepas zakat sebanyak RM1.8 bilion.
“Dan kedua-dua laporan kewangan tahun 2018 dan 2019 masih belum dibentangkan di parlimen seperti dituntut Akta Badan Berkanun (Akaun dan Laporan Tahunan) 1980,” katanya.
Zulkifli menambah, bagi tempoh setengah tahun pertama 2020, Tabung Haji mencatat keuntungan sebanyak RM1.2 bilion.

