[Jenayah] Polis Johor mengesan taktik baru yang digunakan sindiket pelacuran di negeri itu bagi menawarkan perkhidmatan kepada pelanggang dengan menggunakan aplikasi MiChat dan WeChat.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata helah itu digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa daripada mengesan perbuatan tidak bermoral itu.
Jelas Ayob, sindiket atau bapa ayam menggunakan MyKad palsu dan nama samaran ketika mendaftar masuk ke bilik hotel bajet yang dijadikan sarang pelacuran.
“Penggunaan aplikasi WeChat dan MiChat membolehkan pelanggan berhubung terus dengan pelacur tanpa penglibatan orang tengah.
“Ini sekali gus, menyebabkan identiti bapa ayam gagal dikesan,” katanya di Johor Bahru, hari ini.
Ayob bagaimanapun menegaskan polis akan terus meningkatkan pemantauan bagi mengekang aktiviti maksiat dan pelacuran, selain meminta orang awam menyalurkan maklumat bagi membanteras kegiatan tidak bermoral itu.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti pelacuran atau perjudian di kawasan perumahan mereka, boleh membuat aduan kepada Bilik Gerakan Kontinjen Johor di talian 072254074,” katanya lagi.
Dalam perkembangan berkaitan, Ayob berkata seramai 299 individu ditahan dalam menerusi 40 serbuan Op Noda sepanjang bulan lalu.
Daripada jumlah itu, katanya, seramai 77 pelacur adalah warga asing iaitu 39 warga Vietnam, 18 warga Indonesia, 13 dari Thailand, empat warga China dan tiga rakyat Filipina.
“Dari awal tahun sehingga kini, 1,053 individu ditahan dalam serbuan Op Noda di Johor,” katanya.

