[PARLIMEN] Kerajaan mengekalkan keputusan kerajaan terdahulu yang menarik diri daripada Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).
Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar, berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan penarikan diri Malaysia daripada ICC.
“Pada 29 April 2019, PBB menghantar surat mengesahkan keputusan Malaysia menarik diri daripada Statut Rom dan Malaysia telah dikeluarkan secara rasmi.
“Kerajaan (PN) mengekalkan keputusan yang dibuat kerajaan terdahulu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Kamarudin berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Maria Chin Abdullah (PH- Petaling Jaya) berhubung status Malaysia dalam Statut Rom serta kemungkinan kesediaan kerajaan bersetuju menganggotai ICC dalam masa terdekat.
Pada 6 April tahun lalu, Kerajaan yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) memutuskan Malaysia menarik diri daripada ICC kerana kekeliruan yang timbul dalam masyarakat serta disebabkan cubaan pihak tertentu untuk mengheret institusi raja menentang kerajaan.
Mengumumkan keputusan itu, Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ada pihak menjadikan keputusan Malaysia menerima statut itu sebagai isu politik untuk memberi gambaran buruk terhadap kerajaan, khususnya beliau selaku perdana menteri.
Sementara itu, mengulas lanjut, Kamarudin berkata kerajaan tidak berhasrat untuk menyertai ICC selaras dengan suara majoriti rakyat Malaysia.
“Kita akan memastikan tindakan kita berpandukan kepada apa yang majoriti rakyat Malaysia hendak,” katanya. -Malaysiapost

