Umno perlu kekalkan kerusi Pagoh, Langkawi – Ku Li

0
2

PENGERUSI Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata Umno perlu mengekalkan kerusi Parlimen yang menjadi tradisi parti itu termasuk di Pagoh dan Langkawi.

Beliau berkata, Umno tidak perlu berunding dengan mana-mana parti lain kerana kerusi terbabit adalah kerusi tradisi mereka.

“Saya pernah kata dalam parti, kerusi Pagoh kerusi kita, Langkawi kerusi kita. Itu bukan sesiapa punya, bukan kerusi ini baru wujud, baru menjelma.

“Tetapi kerana kesilapan kempen sebelum ini, kita kalah, tetapi kali ini kita cubalah,” katanya dalam temubual bersama The Malaysia Insight.

Ahli politik veteran itu berkata, Umno hendak kembali semua kawasan-kawasan itu dan yakin parti Melayu terbesar itu boleh menang.

“Kita nak bertanding dan kita yakin boleh menang dengan strategi yang betul, langkah-langkah yang boleh menarik orang balik kepada Umno.

“Kita tidak pernah kalah di kerusi-kerusi seperti Langkawi dan Pagoh kerana berlawan dengan PAS, parti Melayu yang kuat. Itu pun kita bertahan kita menang tak pernah kalah.

“Jadi mengapa kita nak surrender (serah) kerusi itu sekarang ini,” katanya.

Sementara itu, Tengku Razaleigh berkata, ketidak stabilan kerajaan hari ini adalah disebabkan ‘Langkah Sheraton’ yang digerakkan dengan tidak teratur.

“Dia (langkah itu) tidak mendapat restu daripada sesiapa pun malah Umno sendiri hanya menyokong ‘begitu saja’.

“Barangkali PAS lain pendapatnya, kena tanya PAS lah, saya tak berani jawab bagi pihak mereka,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here