KPDNHEP rekod nilai rampasan RM60 juta sejak PKP

0
1

KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuka 4,684 kertas siasatan di bawah pelbagai akta membabitkan nilai rampasan lebih RM60 juta, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, sehingga 10 November, sebanyak 3,434 kes telah dikompaun membabitkan nilai kompaun lebih RM1.5 juta daripada 476,912 premis perniagaan yang diperiksa.

“Kementerian sedar keresahan rakyat. Kuasa berbelanja kurang sejak Covid-19 menyerang dari awal tahun dan pada masa sama rakyat risau harga barang, perkhidmatan dan yuran meningkat.

“Sehubungan itu, KPDNHEP proaktif melaksanakan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan berterusan.

“Ini untuk pastikan keberadaan dan harga barangan makanan dan keperluan asas stabil serta munasabah,” katanya ketika ditemubual dalam program Agenda Awani, malam tadi.

Alexander berkata sejak pelaksanaan PKP, rakyat telah mengubah trend perbelanjaan daripada bersemuka kepada secara dalam talian, selaras dengan norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19.

“Transaksi e-dagang telah meningkat 39.3 peratus berdasarkan statistik oleh Jabatan Perangkaan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KPDNHEP sentiasa berusaha memastikan program penyeragaman harga barang di Sabah dan Sarawak dilaksanakan dengan berkesan, terutama selepas diberi peruntukan RM40 juta dalam Belanjawan 2021, berbanding RM20 juta tahun sebelumnya.

Katanya, KDPNHEP kini dalam proses menyediakan satu nota makluman kepada Jemaah Menteri mengenai isu ketidakseragaman harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan dengan Semenanjung.

“Faktor yang mempengaruhi perbezaan harga barang antara Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung antara lain ialah kos logistik yang tinggi, saiz pasaran kecil; e-dagang masih belum berkembang sepenuhnya dan polisi ‘local first’,” katanya.

Mengenai Belanjawan 2021, Ahli Parlimen Kapit itu menyambut baik inisiatif dan program diluluskan untuk KPDNHEP dengan keseluruhannya berjumlah RM 1.15 billion, berbanding RM1.019 billion pada 2020.

“Tujuh program baharu dan sedia ada yang bersifat ‘people centric’ (fokus kepada rakyat), berjumlah RM708.8 juta diluluskan, selain fokus membantu sektor perniagaan untuk terus bertahan dalam situasi ekonomi ketika ini,” katanya. -Malaysiapost

Foto Kredit: Berita Harian

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here