i-Sinar: Tak perlu jual aset KWSP, kata Najib

0
2

Aiman Hanif

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak perlu menjual aset bagi membiayai pengeluaran caruman akaun 1 skim i Sinar, kata Datuk Seri Najib Razak.

Sebaliknya kata bekas Perdana Menteri itu berkata, KWSP cuma perlu menjual bon pinjaman kerajaan dengan kadar faedah tetap yang dipegang badan itu.

“Seperti yang saya telah jawab dalam parlimen, aset yang perlu dijual KWSP cuma bon pinjaman kerajaan dengan kadar faedah tetap yang dipegang KWSP. Biasanya bon kerajaan ini membayar faedah antara dua hingga empat peratus setahun.

“Sebanyak 50 peratus daripada jumlah aset RM940 bilion KWSP adalah dari kelas aset bon pinjaman ini. Bank Negara (BNM) boleh mengambil peranan untuk membeli sebahagian daripada bon kerajaan dipegang KWSP ini untuk mengurangkan impak kepada pasaran bon tempatan akibat penjualan oleh KWSP.

“Seterusnya, BNM boleh jual semula bon ini ke pasaran bon tempatan secara bertingkat jika BNM tidak mahu pegangnya untuk tempoh yang lama.

“Ataupun dijual balik kepada KWSP secara berperingkat sebab jumlah aset KWSP meningkat setiap bulan apabila majikan dan pekerja membuat caruman bulanan,” kata Najib dalam satu catatan di Facebooknya, petang ini.

Tambah Najib, KWSP tidak perlu menjual saham atau jual hartanah milik mereka pada harga murah.

“Cuma jual sebahagian daripada bon pinjaman kerajaan secara sementara untuk membayar mereka yang mahu keluarkan wang dari KWSP untuk menghadapi krisis. Yang dia nak jual aset tu dah kenapa?,” tambah Najib lagi.

KWSP akan terus menjual asetnya untuk menyediakan dana bagi membolehkan pencarum mengeluarkan wang daripada Akaun 1 dan Akaun 2 mereka.

Langkah itu mula dilaksanakan sejak Mac lalu.

KWSP menganggarkan pengeluaran di bawah skim i-Sinar dan i-Lestari akan menyaksikan sekitar RM45 bilion keluar daripada dana persaraan itu menjelang tahun depan.

Pengurangan caruman tahun ini dan tahun depan meningkatkan jumlah aliran tunai kepada kira-kira RM60 bilion, lapor sebuah portal berita, hari ini.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here