Covid-19: 1,210 kes baru, 5 kematian

0
1

Fitri Nizam

SEBANYAK 1,210 kes baharu positif Covid-19 dicatatkan hari ini dengan Sabah mencatatkan peningkatan sebanyak 499 kes menjadikan negeri tertinggi bagi kes harian.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah kes dicatatkan di negeri di Lembah Klang masih membimbangkan.

Katanya, di Lembah Klang terdapat 518 kes direkodkan hari ini iaitu 42.8 peratus daripada keseluruhan kes.

“Sebanyak 499 kes dicatatkan di Sabah, Selangor (259), Kuala Lumpur (238), Negeri Sembilan (67), Perak (47), Pulau Pinang (33), Kelantan (19), Johor (14), Kedah (8), Melaka (2), Putrajaya (2), Labuan (1), Sarawak (1) dan Terengganu (1),” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, Pahang dan Perlis tidak mencatatkan sebarang kes hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 105 kes positif yang sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 40 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan lima (5) kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 318 kes iaitu 0.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 19 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

“Kes-kes tersebut melibatkan lima warganegara dan 14 bukan warganegara.

“Mereka tiba dari negara Nepal (4), Qatar (3), India (3), Filipina (2), Nigeria, Amerika Syarikat, Turki, Rusia, Tunisia, Romania dan Myanmar masing-masing satu kes,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here