Nurul Huda Abhar
PENGUSAHA Pengusaha Majlis Perkahwinan Malaysia (PPMPM) memohon agar kerajaan membenarkan majlis perkahwinan diadakan dengan kehadiran 250 orang tetamu dalam satu masa mengikut kapasiti dewan perkahwinan.
Setiausaha Agungnya, Arabath Ali Arul Alavudeen berkata, ianya sebagai usaha membantu peniaga dalam industri perkahwinan agar dapat meneruskan perniagaan dan mempunyai aliran tunai untuk menampung perbelanjaan ‘overhead’ bulanan yang tinggi dan menyelamatkan peniaga-peniaga ini dari gulung tikar.
“Industri perkahwinan sudah pun mempunyai Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat dan para peniaga di industry perkahwinan telah melaksanakan SOP ini dengan sempurna. Kami juga mengalu-alukan SOP yang lebih ketat jika pihak kerajaan inginkan.
“Selain itu, kami merasakan belanjawan tahun 2021 yang dibentangkan di dewan rakyat baru-baru ini adalah belanjawan yang prihatin kepada rakyat dan peniaga-peniaga namun kami dari pihak industriperkahwinan merasakan belanjawan tersebut tidak cukup untuk memulihkan industri kami.
“Ini kerana industri perkahwinan merupakan industri yang terjejas teruk selepas industri pelancongan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, pihaknya memohon agar kerajaan menyambung tempoh moratorium sehingga Jun 2021 dan memberi bantuan geran sebanyak RM 5,000 melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP) secara one-off kepada peniaga-peniaga kecil di industri perkahwinan.
Beliau berkata, kerajaan boleh melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun, SME Corp dan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB).
Selain itu, katanya, kerajaan perlu meneliti untuk memberikan subsidi penyewaan dewan perkahwinan sebanyak 30% dari sewa asal kepada para peniaga yang menyewa premis dengan bertujuan mengadakan dewan perkahwinan selama 6 bulan.
“Tax holiday bagi tahun 2020 untuk pengusaha industri perkahwinan yang terjejas disebabkan pembatalan majlis perkahwinan sepanjang tahun 2020 ini akibat penularan Covid-19.
“Subsidi diberikan dalam bil-bil utiliti bulanan seperti TNB, Air dan internet,” ujarnya. – Malaysiapost

