Solat Jumaat ganti solat Zohor di zon merah, Perak mulai hari ini

0
2

SOLAT Jumaat di masjid dan surau di zon merah di Perak dibenar untuk ditangguhkan dan diganti solat Zohor di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Shahrul Azam Shaari, berkata keputusan itu diperkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah selepas menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, berpandukan garis panduan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Bagi zon merah solat berjemaah pada setiap solat fardu hanya boleh dilaksanakan oleh enam orang jemaah yang terdiri daripada pegawai masjid dan ahli Jawatankuasa Kariah, manakala semua aktiviti keagamaan di masjid dan surau ditangguhkan.

“Laungan azan solat fardu lima waktu hendaklah diteruskan seperti biasa,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, solat Jumaat dan solat fardu lima waktu bagi zon kuning dan zon hijau, dibenarkan dengan bilangan jemaah dihadkan.

“Ia berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter di antara jemaah.

“Pada masa ini, kebenaran itu hanya bagi warganegara Malaysia dengan identiti setiap jemaah perlu disemak dan direkodkan sebelum dibenar masuk ke ruang solat,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrul Azam berkata, semua aktiviti keagamaan seperti ceramah, kuliah pengajian antara maghrib dan isyak serta selepas solat subuh, kuliah duha, bacaan Yasin dan tahlil juga dibenarkan.

“Pelaksanaan solat fardu lima waktu yang dilaksanakan secara berjemaah dan aktiviti keagamaan di seluruh masjid dan surau di negeri ini juga dibuka kepada muslimah di ruang khas yang disediakan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan masjid, surau untuk ibadah solat dan aktiviti keagamaan hendaklah mematuhi garis panduan dan prosedur ditetapkan MKN dan KKM.

“Jawatankuasa kariah atau pegawai masjid perlu memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat, solat berjemaah pada setiap solat fardu dan aktiviti keagamaan dimulakan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here