Fitri Nizam
SERI Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman yang telah kembali ke Rahmatullah pada hari ini akibat sakit jantung.
Menurut hantaran Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga sabar dan tabah menghadapi suasana pilu ini.
“Seri Paduka Baginda berdua amat menyanjung tinggi dan menghargai khidmat bakti serta jasa Allahyarham kepada masyarakat dan negara.
“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT serta ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan solihin,” katanya.
Allahyarham Hasbullah, 63, juga merupakan Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) dan antara satu wakil kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).
Hasbullah juga pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara itu, Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata berita itu adalah amat mengejutkan dan ia satu kehilangan besar buat rakyat Perak khususnya di Gerik.
Katanya, Allahyarham Hasbullah akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang banyak berjasa kepada rakyat di kawasan Gerik sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Temenggor dan seterusnya Ahli Parlimen.
“Kita doakan semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan dikumpulkan bersama hambaNya yang beriman dan beramal soleh serta dikurniakan sebaik-baik ganjaran syurga.
“Semoga ahli keluarga dan kerabat yang dicintai Allahyarham Hasbullah tabah menghadapi ujian yang berat ini. Al-fatihah,” katanya. – Malaysiapost

