Fitri Nizam
SEBANYAK 1,103 kes baru Covid-19 dikesan setakat hari ini, dengan Kuala Lumpur terus mengatasi Sabah sebagai negeri dengan jangkitan tertinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata walaupun mencatatkan penurunan berbanding semalam namun Kuala Lumpur mencatatkan 392 kes baru manakala Sabah dengan 288 kes baru.
“Penurunan kes positif Covid-19 di Sabah menunjukkan keberkesanan tindakan kawalan dan pencegahan penyakit yang telah dijalankan secara agresif sejak berlaku peningkatan kes di sana.
“Negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 544 kes positif atau 49.3 peratus pada hari ini.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 484 kes atau 89 peratus adalah daripada kluster-kluster sedia ada,” katanya pada sidang media hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata, kluster yang melaporkan kes yang tertinggi adalah kluster Tapak Bina Daman Lela di Kuala Lumpur iaitu sebanyak 385 kes.
Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, di Selangor (151), Perak (116), Negeri Sembilan (90), Pulau Pinang (26), Kedah (10), Labuan (8), Johor (8), Kelantan (7), Terengganu (4), Sarawak (1), Melaka (1) dan Putrajaya (1).
Manakala Pahang dan Perlis tidak mencatatkan sebarang kes.
Daripada 1,103 kes baru pada hari ini, Selangor melaporkan satu kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara. Kes itu melibatkan seorang warganegara yang tiba dari Arab Saudi.
Dr Noor Hisham berkata, terdapat sebanyak 821 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 35,606 atau 73.4 peratus.
“Sehingga kini, terdapat 102 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 39 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya. -Malaysiapost

