Bajet industri untuk beras tak patut dikurangkan

0
3

PERBELANJAAN untuk industri penting seperti padi dan beras sepatutnya tidak dikurangkan terutama untuk pembangunan dan infrastruktur.

Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM) dalam satu kenyataan berkata, berdasarkan Belanjawan 2021 yang dibentangkan minggu lalu, jumlah keseluruhan subsidi harga padi telah berkurangan sebanyak RM50 juta.

Katanya, sepatutnya sudah lama infrastruktur seperti saliran dan empangan dibaikpulih dan dipertingkatkan.

“Tanpa infrastruktur fizikal yang baik, mustahil untuk melaksanakan dengan jayanya projek IR4.0 ‘internet of things’ seperti kawalan penjadualan air secara automatik.

“Dalam hal pengurangan jumlah subsidi harga padi pula, bilangan pesawah yang akan menerima subsidi harga penuh bagi setiap tan hasil bendang akan berkurangan terutama pesawah yang berada di kawasan luar jelapang.

“Perkara ini sudah pun dibangkitkan ketika ini oleh mereka yang diuar jelapang seperti di Melaka dan Johor. Secara tidak langsung, objektif insentif ini untuk menambah hasil padi negara tidak dipenuhi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut FKMM, penumpuan kepada teknologi dalam sektor pertanian dan perikanan adalah disokong namun perlu dipastikan teknologi tersebut adalah bersesuaian dengan taraf kemahiran dan kemampuan untuk memiliki dan menggunakannya oleh petani.

Katanya, FKMM tidak mahu pekerjaan di luar bandar nanti diambil alih oleh orang bandar kerana jurang penguasaan teknologi yang besar antara bandar dan luar bandar.

“Kita juga tidak mahu fenomena ini akhirnya akan menyebabkan pertambahan kos kepada petani dan nelayan kecil dan seterusnya meminggirkan mereka daripada industri ini.

“Penstrukturan semula belanjawan dalam industri ini mestilah bersifat tansformatif di mana kepelbagaian agrobiodiversiti tanaman mesti diberi tumpuan berbanding memfokuskan tanaman tertentu seperti nanas.

“Manakala sektor padi dan beras yang merupakan makana ruji negara seharusnya diperkasakan dalam belanjawan setiap tahun demi jaminan bekalan makanan negara,” katanya. -Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here