SEBANYAK 27 kawasan di Kuala Langat dan Sepang akan mengalami gangguan bekalan air berjadual bermula jam 9 malam pada 24 November ini.
Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor (Air Selangor), Elina Baseri, berkata ia susulan kerja penggantian injap pada paip agihan di simpang Jalan Indah 1, Jalan B48 Pekan Sepang Lama, Selangor.
Beliau berkata, gangguan bekalan air berjadual di 27 kawasan itu dijangka pulih sepenuhnya pada jam 5.30 petang, pada 25 November depan.
“Pelaksanaan kerja penggantian injap di paip agihan ini akan membolehkan sistem pengagihan bekalan air berjalan lancar dan semua peralatan berkaitan sentiasa berada dalam keadaan baik dan optimum.
“Penambahbaikan infrastruktur injap ini juga adalah sebahagian usaha Air Selangor dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan terbaik demi keselesaan para pengguna di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air berbeza mengikut kawasan bergantung jarak lokasi premis pengguna dan tekanan air pada sistem agihan.
“Air Selangor ingin menasihatkan pengguna terjejas untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh gangguan bekalan air berjadual ini.
“Untuk maklumat lanjut, sila layari laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com.
“Pengguna juga boleh merujuk semua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter, atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300,” katanya. -Malaysiapost

