PERINTAH berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) yang berakhir esok, dilanjutkan sehingga 1 Disember depan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali, berkata perintah berkurung dari jam 6 petang hingga 6 pagi itu diteruskan bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan dilaksanakan untuk memastikan kawasan perairan berkenaan selamat.
Katanya, antara daerah yang terbabit adalah Tawau, Sermporna, Kunak, Lahad Datuk, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.
“Orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah dan orang lain tidak dibenarkan masuk atau berada di kawasan diisytiharkan antara jam 6 petang hingga jam 6 pagi pada tarikh dinyatakan.
“Selain memastikan kawasan ini selamat, perintah berkurung juga dilaksanakan bagi mengelakkan kawasan perairan ini tidak diceroboh oleh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik dan pelancong di pulau peranginan,” katanya.
Perintah berkurung sebelum ini dilaporkan sepatutnya berakhir esok. -Malaysiapost

