Covid-19: Kluster Cergas penyumbang tertinggi di Negeri Sembilan

0
1

KLUSTER Cergas menjadi antara penyumbang tertinggi Covid-19 di Negeri Sembilan dengan 1,120 kes daripada jumlah keseluruhan 3,373 kes positif, setakat semalam.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata tiga lagi kluster yang turut menyumbang peningkatan kes adalah Kluster Kaya sebanyak 482 kes; Kluster Lengkuk (232 kes) dan Kluster Taman Bunga (53 kes).

Katanya, dari jumlah itu, sebanyak 1,892 kes sudah sembuh dan discaj manakala 1,473 kes masih menerima rawatan dan jumlah kematian kekal dengan lapan kes.

“Memang kita bimbang dengan peningkatan kes Covid-19 secara mendadak di negeri ini.

“Daripada laporan yang diterima daripada Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) kebanyakan kes positif yang dikesan adalah daripada kluster yang sudah dikenal pasti dan dikawal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Justeru, saya memohon agar rakyat Negeri Sembilan kekal bertenang dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aminuddin berkata, pematuhan amalan normal baharu yang digariskan sangat penting bagi memastikan tidak wujud kluster baharu di negeri ini.

“Setiap daripada kita berperanan besar dalam memastikan pandemik ini dapat dihentikan dan kadar kebolehjangkitan atau R0 berada di tahap yang rendah,” katanya. -Malaysiapost