TIGA individu dalam satu kenderaan kini dibenarkan bagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk perkhidmatan e-Hailing dan teksi, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Katanya, kebenaran itu membabitkan tiga orang yang tinggal serumah bagi sebuah kenderaan berbanding dua individu sebelum ini.
“Sebelum ini hanya dua orang, tetapi kelonggaran diberi kepada budi bicara Polis Diraja Malaysia (PDRM), misalnya ibu atau bapa atau kedua-dua, perlu dibawa ke klinik, ini dibenarkan, atau suami isteri yang ada anak kecil, boleh dibawa sekali.
“Namun, polis memaklumkan keadaan itu agak sukar untuk menggunakan budi bicara serta banyak juga rungutan dan pandangan daripada orang ramai meminta supaya memberi sedikit kelonggaran.
“Oleh itu, mesyuarat hari ini bersetuju memberikan kelonggaran iaitu tiga orang dalam satu kenderaan termasuk e-hailing dan teksi,” katanya. – Malaysiapost

