Tiong kecewa pemimpin PBB dengar cakap MP Jelutong

0
2

Aiman Hanif

PRESIDEN Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing kecewa dengan kritikan melulu rakan sekutunya dalam GPS berhubung kenyataannya terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Rabu lalu.

Sambil menegaskan yang beliau tidak mempunyai niat jahat terhadap Noor Hisham, Tiong meminta Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya menyemak fakta ucapannya terlebih dulu.

Jelasnya, Abdul Karim tidak seharusnya mengambil fakta dari sebelah pihak khususnya Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer.

“Anda harus berusaha untuk memeriksa fakta teks ucapan penuh saya di Parlimen dan bukannya bergantung pada laporan berita yang telah disensasikan berdasarkan laporan sebelah pihak dari Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer di Parlimen.

“Sebagai anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dianggap sebagai ahli politik kanan, dia harus memahami isu yang lebih mendalam sebelum berbicara.

“Dan jika anda benar-benar merasakan semua anggota GPS adalah ahli keluarga yang sama, maka tolonglah hubungi saya secara langsung untuk memahami selok-belok perkara sebelum memberi komen,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rabu lalu di Dewan Rakyat beliaumenuduh Noor Hisham “takut mati” kerana tidak mengunjungi Sabah pada waktu puncak wabak Covid-19 di negeri itu.

Kenyataan beliau telah mendapat kecaman hebat Ahli Parlimen yang lain khususnya dari kalangan pembangkang.

Tiong bagaimanapun mempertahankan kenyataan dengan mendakwa ia yang menyampaikan suara rakyat.

Menjawab kritikan Tiong, Noor Hisham berkata sebagai orang Islam kematian itu boleh berlaku pada bila-bila masa dan di mana-mana saja.

Dalam itu, Ahli Parlimen Bintulu itu berkata apa yang dibangkitkannya adalah tanggungjawab selaku Ahli Parlimen.

“Saya harus menegaskan sekali lagi bahawa saya sama sekali tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan petugas barisan hadapan kita. Sebenarnya, saya secara khusus memperhatikan sikap dedikasi mereka dalam memerangi wabak itu.

“Apa yang saya jelaskan adalah kebertanggungjawaban dan tanggungjawab peribadi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dalam tempoh yang sukar ini. Isu-isu ini mesti diambil lebih serius, untuk kesihatan dan masa depan semua rakyat Malaysia,” katanya lagi. – Malaysiapost.