PRK Batu Sapi: Umno Sabah sedia bantu kempen PN

0
2

UMNO Sabah sedia membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi, jika Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ia selaras kerjasama Umno dan Barisan Nasional (BN) dengan PN, di sebalik BN menyatakan tidak akan bertanding dalam PRK itu.

“Kita sedia membantu jika PN mahu meletakkan calon. Kita pun ada juga mendengar khabar angin yang PN mungkin meletakkan seorang pemimpinnya di Batu Sapi sebagai calon bagi PRK berkenaan,” katanya pada sidang media di Kota Kinabalu seperti dilaporkan Berita Harian.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian susulan khabar angin kemungkinan PN akan meletakkan calon pada PRK berkenaan.

Beliau berkata, Umno menyerahkan kepada PN untuk memutuskan sama ada mahu meletakkan calon selepas beberapa parti, termasuk BN menyatakan pendirian untuk tidak bertanding.

Sebelum ini, ada laporan menyebut Ketua Penerangan Bersatu Sabah yang juga Ketua Bahagian Batu Sapi, Khairul Firdaus Akbar kemungkinan bertanding mewakili PN.

Beberapa parti lain termasuk Parti Bersatu Sabah (PBS), Star, PKR dan Parti Cinta Sabah (PCS) telah menyatakan pendirian tidak bertanding kerana mengambil kira situasi semasa Covid-19 di Sabah.

PRK Batu Sapi perlu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong dari mewakili Parti Warisan Sabah (Warisan), awal bulan lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 23 November ini, diikuti pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian biasa pada 5 Disember. – Malaysiapost