KETUA Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, menjalani kuarantin kendiri kali kedua bermula hari ini.
Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan kini menjalani kuarantin kendiri hari ini sehingga 23 November depan.
Katanya, beliau disahkan menjadi kontak rapat seorang OKT (orang kena tuduh) di lokap balai yang disahkan positif Covid-19.
“Ini adalah sebahagian daripada tugasan saya, di mana tujuh lokap ini adalah di bawah bidang kuasa saya.
“Sudah menjadi rutin harian saya sebelum melangkah masuk ke pejabat dan pulang, termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.
“Selain melakukan kawalan dan melaksanakan reman, kesejahteraan OKT juga diambil kira,” katanya.
Mengulas lanjut, Nik Ezanee berkata beliau telah menjalani ujian saringan Covid-19 pagi ini dan diarah kuarantin sementara menunggu keputusan ujian itu.
Pada 12 Oktober lalu, Nik Ezanee dilaporkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari setelah mempunyai kontak rapat dengan seorang Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) yang menjadi kontak rapat dengan seorang individu positif Covid-19.
Petugas terbabit menjadi kontak rapat ketika di asrama pekerja kelab golf Tropicana Golf & Country Resort (TGCR), Petaling Jaya, yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) pada masa itu.
Namun, pada 14 Oktober, Ezanee menyatakan beliau mengakhiri kuarantin setelah keputusan ujian Covid-19 pegawai tersebut adalah negatif. – Malaysiapost.

