Tarik balik PKPB di Johor, Melaka, Kedah – Kit Siang

0
3

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) harus mempertimbangkan untuk menarik semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Johor, Melaka dan Kedah.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang susulan ketiga-tiga negeri kini tiada zon merah atau daerah dengan lebih daripada 40 kes Covid-19.

Menurutnya, MKN perlu mencari cara untuk meminimumkan kesan buruk dalam sektor ekonomi ekoran pelaksanaan PKPB dengan menggunakan pendekatan lebih fleksibel.

“Secara umum, semua bersetuju usaha membendung pandemik Covid-19 akan mengambil masa selama setahun, malah mungkin hingga 2022, MKN harus mengambil pendekatan lebih fleksibel untuk rakyat mengharungi tempoh sukar ini.

“Sekali gus mengimbangi kepentingan antara menyelamatkan nyawa dan punca kehidupan tanpa memberi kesan besar terhadap pemulihan ekonomi negara.,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penasihat DAP itu berkata, Akademi Perubatan Malaysia (AMM) dan pakar perubatan juga meminta MKN menghentikan PKPB dan mengambil “jalan tengah yang telus” berhubung perlaksanaannya.

Beliau menambah, AMM menyatakan di Semenanjung hanya Negeri Sembilan yang mencatat kadar jangkitan lebih tinggi wabak Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk daripada kadar nasional.

“AMM bingung dengan keputusan kerajaan untuk mengenakan PKPB secara pukal dan meminta kerajaan menjelaskan rasional di sebalik keputusan itu,” ujarnya.

Beliau juga memetik kenyataan AMM iaitu “Dalam memeriksa bukti yang ada, kami mendesak kerajaan untuk menarik balik PKPB dan menerapkan jalan tengah yang telus.”

Kit Siang berkata, AMN juga menjelaskan berdasarkan kadar jangkitan 14 hari iaitu dari 21 Oktober sehingga 3 November, banyak negeri tidak memerlukan sekatan pergerakan yang lebih ketat.

“Hanya Negeri Sembilan mencatatkan kadar jangkitan lebih tinggi berbanding kadar di peringkat nasional, sementara Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Melaka berada pada tahap yang agak rendah.

“Adalah sangat malang apabila Parlimen digunakan untuk menyerang profesionalisme dan dedikasi petugas barisan hadapan,” katanya lagi.

Beliau juga mendakwa PKPB sengaja digunakan untuk mengalih perhatian masyarakat daripada hakikat bahawa pemimpin Perikatan Nasional (PN) oportunis dan tidak berprinsip.

Katanya, ia kerana pemimpin PN yang menyebabkan wabak Covid-19 merebak di Sabah kerana kerakusan mereka untuk merampas kerajaan Sabah daripada Gabungan Warisan Plus. – Malaysiapost