POLIS memandang serius dan memantau tindakan individu yang sengaja merakam video atau mengambil gambar anggota sedang bertugas sehingga cuba mengganggu sesuatu siasatan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, berkata perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh menimbulkan kegusaran dan persepsi salah dalam kalangan masyarakat sehingga wujud tanggapan pasukan keselamatan ‘menindas’ orang ramai.
“Kita memandang serius perbuatan dengan niat jahat yang memuat naik serta menularkan video sesuatu kejadian memaparkan mesej tersirat seolah-olah pegawai penguat kuasa bertindak menyalahi undang-undang.
“Polis sentiasa menghormati kebebasan bersuara tetapi mestilah dalam ruang lingkup yang dibenarkan Perlembagaan dan undang-undang,” seperti dilapor BH.
Abdul Hamid berkata, perkara berkenaan akan ditangani dengan tegas dan mereka yang melakukan kesalahan boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 500 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan lelaki berusia 24 tahun yang merakam visual dengan telefon bimbit dan menyiarkannya menerusi Facebook Live ketika sepasukan anggota polis membuat serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya, 7 November lalu.
Serbuan itu dibuat bagi siasatan kes Akta Hasutan membabitkan Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY).
Sebelum ini, media melaporkan Timbalan Pengarah (Siasatan dan Perundangan) JSJ Bukit Aman Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, polis menyiasat Presiden UMANY mengikut Akta Hasutan berhubung kenyataan kontroversi mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong. – Malaysiapost

