BERSATU hari ini membuat laporan polis berhubung penerbitan artikel mendakwa peguam yang memfailkan sama terhadap Yang di-Pertuan Agong sebagai “orang” Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Laporan itu dibuat Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan di Balai Polis Dang Wangi di ibu negara, hari ini.
Menerusi laporan disiarkan sebuah portal, Wan Saiful berkata, ia memberi maksud seolah-olah Muhyiddin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri mengarahkan peguam itu menyaman Agong.
“Bagi pihak Bersatu, kami merasakan ini satu fitnah yang besar kepada Perdana Menteri yang tak patut dilakukan oleh mana-mana pihak, mana-mana laman berita terutamanya.
“Fokus kita ialah pada satu perenggan dalam laporan tersebut yang mana jelas satu fitnah kepada Perdana Menteri,” katanya seperti dilaporkan Malaysiakini.
Perenggan yang dimaksudkan berbunyi:
“Difahamkan bahawa Syed Iskandar (peguam berkenaan) ialah ‘orang’ Muhyiddin sendiri. Jadi, jika pihak beliau sendiri, tentulah tindakan peguam itu kelihatan seperti direstui, dan memang digalakkan/dilindungi”.
Pada 30 Oktober lalu, peguam, Syed Iskandar Syed Jaafar, melalui firma guaman Tetuan Kengadharan & Co, memfailkan saman pemula di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ia susulan keputusan Yang di-Pertuan Agong pada 25 Oktober lalu yang menolak cadangan untuk pengisytiharan darurat.
Syed Iskandar, antara lain, meminta mahkamah menentukan sama ada Seri Paduka Baginda mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk tidak mengisytiharkan darurat walaupun Perdana Menteri menasihatkan sebaliknya.
Sementara itu, Wan Saiful berkata, tujuh laporan polis dibuat serentak di seluruh negara berkenaan hal sama, setelah jentera penerangan Bersatu digerakkan.
“Kita mulakan tindakan ini. Kita harap portal ini ambil tindakan sewajarnya terutama sekali kalau boleh mohon maaf kepada Perdana Menteri dan menarik balik laporan tersebut,” katanya. – Malaysiapost

