Covid-19: 822 kes baharu, 769 pulih, 2 kematian

0
2

Fitri Nizam

JUMLAH kes positif harian Covid-19 di Malaysia masih mencatatkan angka tiga digit iaitu sebanyak 822 namun menunjukkan penurunan berbanding sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata perkembangan terbaharu itu menjadikan kes kumulatif positif Covid-19 di Malaysia berjumlah 42,872 kes dengan kes aktif sebanyak 11,497.

Beliau berkata, Sabah kekal menjadi penyumbang kes harian tertinggi namun menunjukkan penurunan ketara apabila mencatatkan sebanyak 258 kes.

“Sabah mencatatkan sebanyak 258 kes atau 31.5 peratus daripada keseluruhan kes positif pada hari ini,” katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, berdasarkan rekod Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Negeri Sembilan (225), Selangor (176), Labuan (46) Pulau Pinang (26), Kuala Lumpur (17), Kedah (17), Sarawak (14), Perak (14), Johor (10), Melaka (6), Putrajaya (3), Perlis (2) dan Kelantan (1).

Dr Noor Hisham berkata, daripada jumlah keseluruhan kes hari ini terdapat tujuh kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan terdapat sebanyak 769 kes pulih Covid-19 dan dengan perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 31,073 iaitu 72.5 peratus.

“Sehingga kini, terdapat 86 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke dukacita dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19,” katanya.

Kedua-dua mangsa adalah bukan warganegara yang membabitkan dua perempuan berusia 22 tahun dan 67 tahun.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sekarang adalah sebanyak 302 kes atau 0.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.
-Malaysiapost