Pencemaran air: Dah naik menyampah

0
3

Nilam Oshman

MENYAMPAH! Itu reaksi pengguna terhadap isu gangguan bekalan air hingga menjejaskan kehidupan harian penduduk Selangor dan Kuala Lumpur.

Pekerja Swasta, Wan Abdulha, 47, berkata beliau ‘menyampah’ dengan situasi bekalan air terputus kerana amat menyusahkan, lebih-lebih lagi bagi mereka tinggal di perumahan bertingkat tiada kemudahan lif.

“Saya tinggal di apartmen lima tingkat di kawasan Kampung Bharu, tak ada lif… air pula tak ada dari semalam, cuma nasib baik duduk tingkat dua, tapi letih jugalah nak angkut.

“Hari ini saya hanya angkut dua botol sebab dijangka air akan pulih namun saya ‘fed up’ dengan keadaan ini sebab selalu sangat jadi.

“Tahun ini krisis air paling teruk, tak pernah jadi sebelum ini,” katanya ketika ditemui ketika mengambil air dibekalkan Air Selangor berdekat Hospital Kuala Lumpur.

Wan Abdulha

Sementara itu, Faris Zainuddin, 27, berkata gangguan bekalan air secara kerap amat menyusahkan, khususnya bagi ahli keluarga yang ramai sepertinya serta mempunyai seorang abang kurang upaya (OKU).

“Susah jugaklah, nak bersihkan rumah, saya ada abang OKU, ahli keluarga tujuh orang, jadi air itu penting.

“Masalah tahun ini banyak kali terputus bekalan air, pihak Air Selangor perlu pantau sebab terlalu kerap jadi, tolong buat sesuatu, cari penyelesaian dan berhati-hati supaya dapat elak gangguan air lagi,” katanya.

Faris Zainuddin

Jainthi, 43, pula berkata sudah tiga tahun dia tinggal di apartmen Sentul Village dan tahun ini merupakan krisis air paling teruk.

“Tiga bulan berturut-turut bekalan air putus, mula-mula paip pecah september lalu, Oktober pencemaran pula, hari ini masalah yang sama.

“Saya sangat berharap, pihak bertanggungjawab pastikan perkara ini tak berulang. Air itu penting untuk semua… tak ada elektrik boleh lagi hidup, tapi air tak ada susah,” katanya.

Jainthi

Semalam, empat Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Sungai Selangor Fasa 1,2,3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor.

Susulan itu, 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang semalam.

Menurut Air Selangor hari ini, Keempat-empat LRA telah beroperasi semula tengah hari tadi dan pelan pemulihan dibahagi kepada dua kumpulan.

Kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan dijangka pulih sepenuhnya pada jam 3 petang esok, 12 November 2020.

Kumpulan kedua pula akan pulih sepenuhnya pada jam 3 petang, 13 November 2020, merangkumi 680 kawasan. – Malaysiapost