Nurul Huda Abhar
PENGURUSAN Air Selangor memaklumkan pelan pemulihan gangguan bekalan air dibahagikan kepada dua kumpulan berikutan henti tugas empat Loji Rawatan Air (LRA) fasa 1,2,3 serta Rantau Panjang semalam.
Kumpulan pertama merangkumi 599 kawasan dijangka pulih sepenuhnya jam 3 petang esok. Manakala kumpulan kedua pulih sepenuhnya pada 3 petang 13 November yang merangkumi 680 kawasan.
Air Selangor menegaskan air yang dibekalkan kepada pengguna telah melalui ujian kualiti air dan pematuhan berdasarkan kepada standard Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta telah disahkan tiada bau oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.
“Air Selangor amat memahami kerisauan yang dihadapi oleh semua pengguna dalam mendapatkan bekalan air bersih khususnya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Justeru, kami akan terus berusaha memberi bantuan air melalui 111 lori-lori tangka air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta Kawasan perumahan,” katanya syarikat itu dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Air Selangor turut menzahirkan rasa kecewa dengan pencemaran yang kerap berlaku kerana ianya menyebabkan loji-loji terpaksa ditutup dan secara langsung memberi impak kepada para pengguna.
Air Selangor menyokong penuh usaha pihak berkuasa untuk membanteras jenayah alam sekitar agar sungai-sungai tidak terus tercemar.
Hari ini, Air Selangor memaklumkan LRA Sungai Selangor Fasa 1,2,3 dan Rantau Panjang telah beroperasi semula pada jam 2.40 pagi ini secara berperingkat-peringkat setelah bacaan 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut.
Ia susulan empat LRA tersebut dihentikan tugas berikutan terdapat pencemaran bau seakan-akan pelarut yang dikesan di Sungai Selangor sekitar jam 12.20 hingga jam 12.45 tengah hari, semalam. – Malaysiapost

