48 pertuduhan libat salah guna media sosial

0
3

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia (SKMM) sudah mengambil tindakan terhadap 48 pertuduhan yang difailkan di mahkamah berkaitan penyalahgunaan media sosial, sepanjang Januari sehingga September lalu.

Menerusi kenyataan, angka itu memperlihat peningkatan 66 peratus, iaitu meningkat berbanding tahun lalu, kata SKMM.

Kenyataan tersebut turut memberitahu daripada jumlah itu, sebanyak 34 pertuduhan atas kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu perbuatan berkongsi atau menyebarkan kandungan lucah yang mencatatkan angka tertinggi, iaitu 22 pertuduhan.

“Ia diikuti sembilan pertuduhan mengenai kandungan jelik, palsu (tiga) dan 14 lagi atas kesalahan mengikut Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, seperti diputuskan Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara berpandukan kepada hasil keterangan diperoleh.

“Bagi kesalahan menyalahgunakan Facebook dan Twitter mencatatkan angka tertinggi, iaitu masing-masing 14 pertuduhan, diikuti 13 kesalahan WhatsApp, manakala Instagram dan blog masing-masing mencatat bilangan terendah iaitu satu pertuduhan,” katanya hari ini.

Tambahnya, secara keseluruhannya bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, pihaknya menerima 178 Laporan Maklumat Pertama atau First Information Report (FIR) berkaitan kesalahan penyalahgunaan media sosial, berbanding hanya 139 diterima bagi tempoh sama, pada 2019.

Sementara itu, SKMM menjelaskan sebarang perkongsian atau penyebaran kandungan palsu, jelik dan mengancam adalah kesalahan di bawah Seksyen 233 AKM 1998.

“Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

“Peningkatan bilangan pertuduhan di mahkamah menunjukkan ketegasan SKMM menangani salah guna media sosial yang masih berleluasa.

“Tindakan berkenaan untuk memastikan persekitaran internet yang selamat dan terjamin,” katanya.

Ketua Pegawai Kawal Selia SKMM Zulkarnain Mohd Yasin, pada program bual bicara Agenda Awani, berkata tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang menyalah guna media sosial termasuk penyebaran berita palsu adalah perlu demi kebaikan semua.

Katanya, ketegasan SKMM dalam melaksanakan penguatkuasaan penting bagi menghantar mesej jelas kepada penyebar WhatsApp mereka tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang.

“Orang awam diingatkan supaya sentiasa patuh undang-undang dan tampil memainkan peranan dalam membantu pihak berkuasa dalam menangani salah guna media sosial seperti penyebaran berita-berita palsu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang awam boleh membantu pihak berkuasa dalam hal ini dengan membuat aduan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Ataupun kepada SKMM melalui e-mel aduan iaitu [email protected], WhatsApp di talian 016-220 6262 ataupun Portal Aduan MCMC pada pautan https://aduan.skmm.gov.my/,” ujarnya. – Malaysiapost