PIHAK berkuasa telah mengesan premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen (sisa buangan) secara tidak sah ke lurang kumbahan yang seterusnya mencemari Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Volex, Rawang, lewat malam tadi.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan sisa dari premis itu didapati menghasilkan bau yang sama dikesan di LRK dan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dan Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3
“Premis tersebut telah disita oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS),” katanya menerusi kenyataan pagi ini.

Tindakan penguatkuasaan bersepadu itu melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa iaitu polis, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SPAN, MPS, Pejabat Daerah dan Tanah Gombak serta Air Selangor.
Semalam, empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1,2,3 serta Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas selepas pencemaran bau seakan-akan pelarut dikesan di Sungai Selangor.
Susulan itu, sebanyak 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat, akan mengalami gangguan bekalan air mulai jam 6 petang semalam. – Malaysiapost

