Aiman Hanif
[Sudut Pandang] Air oh air, tidak sampai sebulan negeri Selangor mengalami gangguan bekalan air yang mengakibatkan jutaan pemegang akaun terjejas.
Isu air di Selangor menjadi isu serius yang tidak boleh dipandang enteng, namun menjadi persoalan apakah isu air di negeri ini sengaja ditimbulkan bagi merosakkan reputasi kerajaan negeri Selangor.
Apakah isu air yang melanda negeri Selangor ini dicetuskan oleh “tangan ghaib” yang bermotifkan politik untuk “menyerang” kerajaan Selangor.
Ya, sesuatu yang tidak masuk akal apabila isu air yang melanda negeri ini bermula Mac lalu, kemudiannya berlaku lagi dalam bulan Oktober sebanyak dua kali
Bahkan tidak sampai sebulan pihak yang membuang sisa buangan kilang sehingga mengakibatkan pencemaran air dibawa ke muka pengadilan,kini sekali lagi masalah pencemaran air berlaku yang mengakibatkan lebih1.4 juta pemilik akaun terkesan.
Menimbulkan lagi persoalan isu air ini muncul di tengah-tengah kemelut Belanjawan 2021 yang ketika ini dibentangkan di Dewan Rakyat.
Air adalah sumber utama, jika masalah air berlaku berkali-kali ini akan menimbulkan keresahan rakyat yang akhirnya menyalurkan kemarahan mereka kepada kerajaan negeri Selangor.
Jika benar isu air di Selangor ini bermotifkan politik, jelas ia menentang titah Sultan Selangor yang tidak mahukan air dijadikan alat politik kerana ia menjejaskan kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Pihak berkuasa sewajarnya menjalankan siasatan terperinci supaya isu air ini tidak dipergunakan pihak tertentu yang mempunyai agenda tersendiri.
Masalah air di Selangor ini bukan benda baharu, bahkan ia tercetus sejak Selangor jatuh ke tangan pembangkang dan tidak sehaluan dengan BN yang ketika itu menguasai Putarajaya.
Tidak dinafikan wujud “permainan politik” di situ apabila pembinaan loji rawatan air Langat 2 terbengkalai buat seketika kerana kerajaan Selangor dan persekutuan ketika itu tidak sehaluan.
Projek loji rawatan air Langat 2 atau dikenali sebagai projek Langat 2 menjadi alternatif baharu kepada usaha mengatasi masalah air di Selangor.
Namun, sayangnya kerana “permainan politik” projek Langat 2, disambung kembali pembinaannya agak lambat berbanding rancangan asalnya.
Presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER), S Piarapakaran sebelum ini pernah menggesa kerajaan supaya segera menyiapkan projek Langat 2 yang diyakini satu-satunya penyelesaian untuk mengurangkan impak gangguan bekalan air yang kerap berlaku di Lembah Klang.
Piarapakaran, berkata kerajaan perlu menyiapkan projek itu sekurang-kurangnya tahun depan atau pertengahan 2022, memandangkan isu pencemaran air dan kebocoran paip dilihat berada luar kawalan dan boleh berlaku bila-bila masa..
Piarapakaran berkata, kerajaan perlu menyediakan pelan kecemasan jangka panjang kerana kebanyakan loji rawatan air yang terpaksa dihenti tugas ini adalah loji dengan kapasiti besar.
Bahkan, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Zaini Ujang sendiri dilaporkan media mengakui tempoh penangguhan pembinaan loji rawatan air Langat 2 sebelum ini antara punca bekalan air tidak dapat dibekalkan apabila pencemaran berlaku di Sungai Selangor.
Menurutnya, pembinaan projek Langat 2 sepatutnya dibina lima tahun lalu dengan kapasiti 1,000 juta liter sehari (MLD) yang boleh membekalkan air kepada penduduk di Lembah Klang sekiranya berlaku sebarang kejadian tidak diingini.
Secara kesimpulannya, isu air di Selangor bukan saja masalah kerajaan negeri, tetapi masalah bersama yang perlu dipikul Kerajaan Persekutuan.
Ini kerana isu air di Selangor adalah isu membabitkan kepentingan rakyat yang perlu ditangani secara bersama.
Meskipun Selangor kini tidak sehaluan dengan Putrajaya, namun ia tidak boleh dipinggirkan demi kepentingan rakyat dan kesejahteraan Selangor yang juga negeri perindustrian di Malaysia.
Air bukan “alat politik” untuk meraih sokongan mahupun kepentingan peribadi.- Malaysiapost

