Langgar SOP: Adun Ketari sahkan dipanggil beri keterangan di IPD Sepang

0
2

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari, Young Syefura Othman mengesahkan beliau sudah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini, berhubung isu pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Katanya, beliau bersama peguamnya, Syahredzan Johan dan telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan Pendakwa Raya dalam menentukan tindakan yang akan diambil terhadap saya.

“Saya berharap apa-apa tindakan yang akan diambil adalah adil dan saksama, dan tanpa layanan berbeza walaupun saya seorang wakil rakyat,” katanya menerusi kenyataan malam ini.

Adun DAP itu sekali lagi melahirkan rasa kesal dan memohon maaf di atas apa yang berlaku.

Terdahulu, Polis Selangor menerima dua laporan berhubung pelanggaran SOP bagi mencegah penularan Covid-19 oleh Young Syefura.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata laporan dibuat seorang lelaki pada jam 6.50 petang semalam di Sepang, selepas melihat Instagram Adun terbabit dan mendapati sembilan gambar di Pantai Bagan Lalang dimuat naik di laman sosial tersebut.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Semalam, Young Syefura memohon maaf susulan gambar di Instagram menunjukkan beliau menyambut majlis ulang tahun kelahiran di satu lokasi di Selangor tanpa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal. – Malaysiapost