Nilam Oshman
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan tidak perlu mengimbas aplikasi MySejahtera jika tidak memasuki premis jualan di stesen minyak.
Beliau berkata, mesyuarat teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut membincangkan isu pendaftaran MySejahtera di stesen minyak serta memperincikan prosedur operasi standard (SOP).
“Semua individu yang mempunyai urusan di dalam premis jualan, tandas serta surau di stesen minyak wajib mendaftar dengan aplikasi MySejahtera atau secara manual.
“Bagi individu yang tidak ada komunikasi dua hala seperti mengisi minyak di pam menggunakan kad kredit atau debit kad dan menambah angin tayar, tidak perlu mendaftar.
“Sementara, bagi individu yang hantar kereta di bengkel bersebelahan stesen minyak, mereka akan menunggu kereta, maka aplikasi MySejahtera perlu digunakan atau manual,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Beliau berkata, bagi individu yang mencuci kenderaan juga diwajibkan daftar MySejahtera kecuali bagi perkhidmatan cuci Automatik.
“Bagi individu yang menghantar kenderaan ke bengkel di stesen minyak dan menggunakan perkhidmatan cuci kereta secara manual, mereka perlu mendaftar melalui aplikasi My Sejahtera atau secara manual.
“Namun bagi perkhidmatan cuci kereta secara automatik, mereka tidak perlu mendaftar MySejahtera atau manual kecuali jika membuat pembayaran di dalam kedai stesen minyak,” katanya. -Malaysiapost

