Muhammad Mustakim Ramli
KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mengakui sukar untuk mengetahui keberkesanan pembelajaran kaedah atas talian atau home-based learning (pembelajaran di rumah).
Presidennya, Amiruddin Awang berkata namun dari sudut persediaan dalam kalangan guru adalah lebih baik berbanding ketika awal pelaksaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu.
“Dari segi impaknya (keberkesanan) kita belum nampak sebab ia baru dilaksanakan. Namun secara keseluruhan ia lebih baik daripada dulu.
“Sekarang guru sudah ada panduan cara untuk menguruskan pembelajaran ‘online’ ini, mereka juga ada pengalaman dalam meneroka bagaimana untuk mengurus kelas.
“Dari segi keberkesan saya tidak pasti tetapi segala ‘haru biru’ sebelum ini sudah tiada. Dulu tiba-tiba ‘blackout’… masing-masing tiada perancangan tetapi fasa ini ia berjalan lancar,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Amiruddin berkata, namun, ketika ini ibu bapa tidaklah boleh mengharapkan keberkesanannya sama seperti kaedah pembelajaran bersemuka
“Jika bersemuka kita dapat lihat kemampuan pelajar itu sama ada dia faham atau tidak. Jika di rumah kita tidak pasti…kita khuatir apabila kita beri tugasan mungkin individu lain yang tolong jawapkan,” katanya.
Sementara itu, ditanya adakah guru berdepan masalah dengan pembelajaran atas talian ini, Amiruddin berkata setakat ini tiada sebarang masalah, namun segala perkakasan termasuk data menggunakan milik peribadi guru.
“Kita harap ada subsidi dari kerajaan kerana guru menggunakan internet mereka sendiri atau potongan rebat untuk pembelian komputer riba untuk kegunaan kerja.
“Selain itu, kita turut mengharapkan kerajaan membantu pelajar yang kurang berkemampuan iaitu yang tidak memiliki komputer riba untuk diberikan subsidi atau rebat bagi membolehkan mereka mudah untuk belajar,” katanya. -Malaysiapost

