ORANG ramai tidak perlu mengimbas aplikasi MySejahtera ketika mengisi minyak, sebaliknya ia hanya perlu dilakukan apabila memasuki kedai serbaneka di stesen minyak.
Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata arahan pihak berkuasa adalah mereka perlu memiliki kod QR dan pemeriksaan suhu terhadap individu yang memasuki kedai, tandas dan surau di stesen minyak.
“Di luar tidak perlu,” katanya seperti dilaporkan The Star.
Khairul Annuar memaklumkan seorang pemilik stesen minyak telah mendapat pengesahan berhubung perkara itu dengan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).
“Adalah berbahaya menggunakan telefon dekat pam minyak. Oleh itu, untuk pertimbangan keselamatan, tidak praktikal untuk melakukannya.
“Untuk mesin dan infrastruktur layan diri, tidak perlu mengimbas kod QR,” katanya.
Difahamkan, menerusi emel daripada CPRC yang menjawab pertanyaan mengenai perkara itu, menjelaskan individu hanya perlu mengimbas kod QR ketika memasuki premis.
“Mengisi minyak di pam atau ketika membuat pembayaran tidak memerlukan aplikasi MySejahtera untuk diimbas,” menurutnya.
Semalam, memetik laporan China Press, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid, berkata pelanggan perlu mengimbas kod aMySejahtera bagi membantu pihak berkuasa mengesan kontak rapat Covid-19 walaupun menggunakan kios layan diri di stesen minyak.
Beliau dilaporkan berkata ketika pelanggan tiba di stesen minyak, mereka diminta untuk imbas kod aplikasi MySejahtera walaupun tidak memasuki kedai serbaneka.
Ia susulan klip video tular, seorang lelaki mendakwa bapanya didenda RM1,000 kerana gagal mengimbas kod MySejahtera sebelum mengisi minyak walaupun memakai pelitup muka. – Malaysiapost

