KERAJAAN akan memastikan apa sahaja vaksi Covid-19 yang diperoleh negara ini, selamat digunakan selain terbukti berkesan tidak kira dari mana ia dihasilkan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata beliau memahami kebimbangan rakyat berhubung vaksin yang akan diterima Malaysia, sama ada ia selamat digunakan.
“Malaysia mempunyai skim pendaftaran dan pelesenan yang sangat ketat untuk farmasi di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
“Kami akan memastikan apa sahaja vaksin yang diperolehi selamat dan berkesan, tidak kira di mana ia dibuat,” katanya menerusi ciapan di Twitter.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang pengguna Twitter adakah kementeriannya ada perancangan untuk memberitahu rakyat Malaysia tentang bagaimana vaksin dibuat bermula fasa percubaan, laporan dan lain-lain.
Begitu juga adakah jaminan bahawa vaksin yang akan diperoleh dari China selamat untuk digunakan.
Khairy berkata, kerajaan memang sedang dalam perancangan untuk memberi penjelasan mengenainya kepada rakyat.
Mengenai laporan vaksin dihasilkan Pfizer dan BioNTech berkesan sehingga 90% dalam mencegah manusia dijangkiti Covid-19, beliau menyifatkan ia suatu perkembangan signifikan dan berita yang sangat baik.
VAKSIN coronavirus yang dihasilkan bersama Pfizer dan BioNTech dilaporkan terbukti berkesan sehingga 90% dalam mencegah manusia daripada dijangkiti Covid-19.
Ujian Fasa 3 vaksin dihasilkan bersama Pfizer dan BioNTech melibatkan 43,538 peserta dari enam negara menunjukkan dengan 90% dilindungi dari virus itu dalam masa 28 hari.
Hanya 94 orang yang mengambil bahagian dalam ujian itu dijangkiti dan tiada masalah keselamatan yang serius, kata firma farmasi AS seperti dilaporkan media antarabangsa. – Malaysiapost

