PKPB, wabak Covid-19 tumpuan Dewan Rakyat hari ini

0
2

HAL berkaitan wabak Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tujuh negeri bermula semalam menjadi perkara bakal dibincang pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dipaparkan dalam laman rasmi Parlimen, kedua-dua perkara berkenaan terkandung dalam tiga soalan utama pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT), bermula pada 10 pagi ini.

Memetik laporan Bernama, Wong Shu Qi (PH-Kluang) meminta Perdana Menteri menyatakan rasional pelaksanaan PKPB di tujuh negeri.

Dr Kelvin Yii Wuen (PH-Bandar Kuching) pula bertanya kepada Menteri Pendidikan rasional penutupan sekolah di seluruh negara termasuk kawasan hijau Covid-19 serta penangguhan peperiksaan awam dan rancangan membantu pelajar yang tiada kemudahan Internet.

Soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) kepada Menteri Kesihatan pula berkisar bilangan kluster yang menyebarkan Covid-19 dan bilangan kluster masih aktif terkini selain setakat mana memberi kesan kepada penyebaran di dalam negara.

Bagaimanapun, seperti ditetapkan sebelum ini, sesi MQT kali ini hanya memerlukan Ahli Parlimen membaca soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama, dengan soalan dan jawapan akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

Usai sesi itu, tumpuan beralih kepada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang antara lain tertumpu kepada soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan perancangan kerajaan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bagi membantu rakyat kehilangan sumber pendapatan akibat Covid-19.

Perbahasan berkaitan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 berkenaan Belanjawan 2021 kemudian mengambil tempat untuk hari kedua selepas membuka tirainya semalam.

Sidang Dewan bermula minggu ini berlangsung hanya empat jam iaitu pada 10 pagi hingga 2 petang setiap Isnin hingga Khamis, selain mengehadkan 80 Ahli Parlimen – 41 pihak kerajaan, 39 pembangkang dan Bebas – berada di dalam dewan pada satu-satu masa.

Ia sebagai langkah berjaga-jaga berikutan penularan wabak Covid-19.

Menurut takwim Dewan Rakyat, Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 akan berlangsung selama 27 hari sehingga 15 Disember. – Malaysiapost