DUA beradik berusia empat dan enam tahun dikuatiri lemas selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu bapa mereka dihanyutkan arus ketika melalui jambatan di Kampung Dangulad, Keningau, tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, dua beradik berkenaan dikatakan gagal menyelamatkan diri selepas air sungai naik mendadak hingga menghanyutkan kenderaan terbabit.
Difahamkan tiga beranak itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka. Bapa mereka bagaimanapun, berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Keningau, Mudi Pengiran, berkata pihaknya menerima panggilan jam 12.08 tengah malam dan melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Bomba menemui kenderaan itu tidak jauh dari lokasi kejadian namun mangsa belum ditemui.
“Operasi SAR ditangguh jam 1.30 pagi dan akan disambung semula,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sementara itu, Mudi berkata, bomba turut menjalankan operasi berikutan air Sungai Pampang melimpah yang menyebabkan dua rumah hanyut, manakala lima lagi dimasuki air dan lumpur.
“Kejadian berlaku disebabkan hujan lebat di kawasan itu. Bagaimanapun semua penghuni dapat menyelamatkan diri,” katanya.
Sungai Pampang adalah antara sungai yang terbabit dalam kejadian ribut tropika Greg yang berlaku pada 1996 hingga mengorbankan banyak nyawa. – Malaysiapost

