Wanita gelang ‘pink’ masuk pasar raya

0
2

SEORANG wanita memakai gelang tangan merah jambu dipercayai melanggar syarat kuarantin Covid-19 apabila dikesan mengunjungi sebuah pasar raya di Bandar Melaka, semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 33 tahun itu adalah individu yang berada di bawah pengawasan (PUS) dan sepatutnya menjalani kuarantin di rumah hingga Khamis ini.

“Namun wanita terbabit didapati melanggar arahan Kementerian Kesihatan dengan keluar bersama saudara lelakinya untuk membeli-belah.

“Ketika kejadian, wanita itu yang juga pekerja sebuah kilang di Batu Berendam, dikata menyorokkan gelang merah jambu dipakai di tangan kanan bertujuan mengelakkan perkara berkenaan diketahui orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Afzanizar berkata, gerak-geri wanita itu disedari beberapa orang awam sebelum melaporkan kepada pengawal keselamatan pasar raya berkenaan.

“Pengawal keselamatan kemudiannya mengarahkan wanita itu keluar dari premis dan memintanya menunggu di hadapan pejabat pengawal keselamatan, sebelum menghubungi Balai Polis Batu Berendam.

“Sementara menunggu ketibaan polis, pengawal keselamatan itu menyoal siasat wanita terbabit dan mendapati dia ke pasar raya berkenaan bersama seorang saudara lelakinya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, polis yang tiba di lokasi kemudian mengambil butiran dan mengarahkan wanita itu pulang ke rumah untuk menyambung kuarantin.

“Kereta peronda polis turut bertindak mengiringi bagi memastikan wanita itu sampai ke rumahnya. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan (ke atas wanita itu),” katanya.

Katanya, wanita itu sudah dimaklumkan supaya menyerah diri di balai polis selepas tempoh kuarantin berakhir dan disahkan negatif ujian Covid-19.

“Siasatan terhadap wanita itu dilakukan mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – Malaysiapost